“Kontroversi budaya punk gegar Aceh” Utusan Malaysia


Dicopy dari Utusan malaysia 27 disember 2011

Anggota kumpulan punk melalui proses pemulihan dengan menyertai sembahyang berjemaah dan ceramah agama yang disediakan oleh pihak berkuasa.

SEGALA-GALANYA bermula pada 10 Disember lalu apabila sekumpulan anak muda menggerakkan usaha mengadakan konsert rock punk di Banda Aceh, Indonesia.

Mesej utama konsert itu khabarnya untuk mengutip dana bagi membantu anak-anak yatim.

Maksud penganjuran konsert itu sangat manis dan sarat dengan nilai-nilai murni.

Namun yang menjadi titik persoalan ialah apakah kewajaran konsert rock punk dianjurkan di wilayah istimewa Indonesia yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu.

Rentetan daripada situ, ia mencetus kontroversi panjang. Seramai 64 anak muda dengan imej punk ditahan pihak berkuasa.

Apabila penangkapan mereka mendapat perhatian media, ia sekali gus mengundang kekecohan di kalangan masyarakat yang ralit mengikut isu tersebut.

Bukan hanya ditangkap oleh polis, bahkan, pejuang-pejuang imej punk itu turut diberi ‘hukuman’ segera dengan membotakkan kepala mereka.

Anak-anak muda itu juga dibawa ke sebatang sungai untuk direndamkan sebelum dibawa ke sesi ceramah pembersihan jiwa.

Pemerintah Aceh tentunya mempunyai asas untuk melaksanakan hukuman itu kerana umum sedia maklum, wilayah istimewa Aceh harus bebas daripada segala budaya yang boleh menjahanamkan kesucian agama Islam.

Namun dari satu sudut pandangan lain, pejuang-pejuang punk ini pula bangkit mempertahankan pendirian mereka.

Tegas jurucakap kumpulan punk itu, Yudi, dia dan kesemua temannya yang berimejkan budaya pop yang diimport dari barat itu bukanlah penjenayah.

“Kami sekadar menganjurkan konsert untuk membantu anak-anak yatim. Bahkan, kami juga memperoleh keizinan dan permit daripada pihak polis dan Majlis Ulama Indonesia. Kami tidak membawa sebarang benda berbahaya atau dadah seperti yang didakwa polis,” tegas Yudi.

Nada kecewa Yudi kedengaran cukup tebal apabila dia mempertahankan bahawa kumpulan punk yang dianggotainya itu sudah lama merancang untuk mengadakan konsert amal seperti itu.

Kekecewaannya tambah berganda apabila dia mendakwa, kumpulan punk itu sering disalah faham oleh masyarakat sebagai puak yang tidak mempunyai arah dalam hidup.

“Kami sering digambarkan sebagai golongan yang tidak mempunyai masa depan, sering ditahan polis dan pihak berkuasa agama,” tegasnya seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post baru-baru ini.

Sebetulnya, imej punk di mata masyarakat Timur bukanlah sesuatu yang manis dan elok untuk diterima sebagai sebahagian daripada budaya hidup.

Bukan saja di Aceh, bahkan di kebanyakan negara di dunia ini, budaya pop punk ini ditakrifkan sebagai puak yang mudah terdorong ke dalam kancah tidak bermoral.

Yudi pada masa sama turut mempersoalkan sejauh mana kebenaran hukum syariah di Aceh dilaksanakan kerana wujudnya diskriminasi dalam penentuan bentuk hukuman.

“Komuniti punk ini tidak menentang pelaksanaan hukum syariah tetapi seandainya berlaku diskriminasi dalam soal pelaksanaan hukuman terhadap golongan-golongan tertentu, ia membawa maksud penguatkuasaan hukum syariah tidak berada di landasan yang betul,” kritik Yudi dengan menjadikan kes penahanan kumpulan punk sebagai rujukan.

Pandangan Yudi itu bagaimanapun disanggah pihak polis yang menegaskan, golongan punk di Aceh berjaya mengaburi mata pihak berkuasa di sebalik niat mereka mahu beramal.

Sedangkan hakikatnya, Ketua Polis Wilayah Aceh, Iskandar Hassan mendedahkan, semasa tangkapan dilakukan pihak polis menemui minuman keras dan dadah bersama-sama remaja punk itu.

“Itu alasan utama kenapa polis menahan mereka,” jelasnya sambil menegaskan kesemua 64 remaja punk itu ditempatkan di Sekolah Polisi Negara (SPN) di Seulawah, Aceh Besar kira-kira 60 kilometer dari Banda Aceh.

Iskanda turut menafikan, kesemua yang ditahan polis menerima hukuman yang keras.

“Sebaliknya, kami mendidik mereka selama 10 hari untuk mengubah pemikiran mereka yang dijajah oleh budaya kurang sihat dan membantu mereka kembali memilih jalan yang baik untuk masa depan,” tegas beliau lagi.

Apa yang menarik perhatian juga, kesemua pejuang punk ini sebelum dipindahkan ke SPN, Seulawah mereka terlebih dulu dibotakkan kepala supaya bebas daripada imej rambut Mohawk dan direndamkan ke dalam sungai untuk membersihkan diri.

‘Hukuman’ itu bagaimanapun disifatkan beberapa pejuang punk itu sebagai meragut nilai kemanusiaan.

“Kami dibotakkan kepala secara paksa. Ini benar-benar melanggar batas kemanusiaan saya sebagai warganegara untuk memilih gaya hidup sendiri,” kata Wawan salah seorang anggota punk.

Wawan dan rakan-rakan seangkatan dengannya tidak mampu menghalang apabila pihak polis membotakkan kepala mereka.

Di kalangan lelaki, ada juga gadis remaja yang turut aktif dalam perjuangan punk yang akhirnya terpaksa menangis teresak-esak apabila anggota polis wanita membuang imej rambut cacak di kepala mereka.

“Ibu bapa saya sekalipun tidak pernah melayan saya seperti ini. Mereka telah melanggar hak asasi saya sebagai manusia,” kata Nanda sambil menangis.

they can cut our hair, but they can't cut our ideas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Temerloh punkrocker

    images
  • Menembus tembok silam Adios

%d bloggers like this: