Satu Malam Di Woodstock


image

Sebenarnya aku curi dari http://ricecooker.kerbau.com/2008/09/19/cherpen-pilihan-satu-malam-di-woodstock/

 

Satu Malam Di Woodstock

 

 

AKU tidak mahu lepaskan peluang sekali seumur hidup ini.

Aku MISTI pergi ke Pesta Woodstock. Aku mahu bebas. Aku tidak mahu tunduk kepada tatatertib hidup chara lama, kepada tatasusila yang kolot. Aku anak zaman sputnik, zaman soyuz, zaman manusia naik kebulan.

Ayahku melarang, tetapi larangannya tidaklah begitu keras seperti amaran ibuku.

“Tak takut dosa? Tak takut api nuraka?” Dia mengherdik.

Kesian ibuku. Dia belajar memasak chara moden. Dia belajar menjahit, menghias rumah untuk menarik minat ayahku kepadanya. Tiap2 bulan dia pergi kekedai solek rambut. Dan dia juga chergas dalam kegiatan2 amal kaum wanita.

Tapi ayahku hidup dalam dua dunia. Dirumah – bila2 dia pulang – dia adalah seorang ayah dan suami yang baik, yang penyayang dan berkuasa.

Diluar rumah – dipejabatnya yang berhawa dingin, dan dikelabnya, dia bertukar chorak, menjadi manusia lain, lelaki yang bebas bergaul, punya ramai kawan2 dan teman2. Dia punya dua peribadi. Mungkin dua jiwa. Kerana itu kadang2 aku fikir lidahnya juga berchabang dua.

Bukan aku mahu memburukkan ayahku. Tapi aku tahu halnya. Dalam bilik dipejabatnya ada tergantung gambar2 bogel.

“Seni,” katanya kepadaku, kepada kawan2 dan teman-temannya. “Ada nilai estatika dalam lukisan2 ini,” tambahnya.

Dalam kutubkanah mini dibilik kanturnya itu ada buku2 sex. Dan satu lachi mejanya yang berkunchi ada gambar2 luchah berbagai ragam, termasuk apa yang digelar ‘hot-dogs’.

Aku tahu. Sebagai budak muda nakal yang tidak dikawal aku sudah menchuri masuk kedalam kanturnya.

Dan aku pun tahu juga dimana tempat ayahku pergi minum, berseronok dengan kawan-kawannya, dengan teman-temannya. Aku anak jantannya. Aku tahulah. Bapak rintik, anaknya borek. Masakan ketam batu, yang hidup didarat dan dalam air, boleh mengajar anaknya berjalan betul.

Aku punya teman wanita, yang lebih tua lima tahun dari aku, mengajak aku pergi kepesta itu.

“Kita boleh bikin kemah disana, ditepi belukar” – katanya.

“Dan bila malam kita boIeh tidur dibawah satu selimut. Kita boleh bebas puas2, sampai pagi” – tambahnya.

Aku mengerti apa hajatnya. Kami sudah buat hubungan beberapa kali, tetapi sembunyi2. Takut kena tangkap basah.

Dia dari keluarga pertengahan atas. Rumahnya besar. Kereta ada dua buah. Segala alat kesenangan dan kemudahan hidup ada dirumahnya. Jauh lebih tinggi kelasnya, mutunya atau darjatnya dari rumahku. Ayahnya orang berpangkat. Ada gelaran. Dihormati. Tetapi hidup “Moon” – teman wanitaku itu, katanya, tidak bahagia. Dia tidak bebas, tidak mahu dibebaskan oleh kedua orang tuanya. Banyak pantang larang yang dikenakan keatasnya. Dia melawan, dia memberontak.

Aku ketemu dengan Moon dalam satu temasha muda-mudi. Semenjak itu aku dengan dia sudah jadi macham belangkas. Berkat pill P.B., belum jadi apa2 padanya. Tapi sejak kebelakangan ini aku sudah lama tidak bersua dengannya. Entah kenapa, entah mengapa. Mungkin dia sakit.

Kemudian datang suratnya. Ada talipon nombor baru. Aku hubungi dia. Kami berchakap panjang, membahrui persahabatan, mengingat kesah2 lama yang lemak manis. Dialah yang kuat menchadangkan supaya kami pergi ke Pesta Woodstock. “Bawa lah kemenyan ajaib” – pesannya. Aku mengerti apa benda itu. Ubat serbaguna untuk muda-mudi yang mahu pesta.

Hari baik yang ditunggu-tunggu itu pun tibalah. Dengan pakaian rugged ala hippikami pergilah kesana.

Dalam radio transister – didalam ruangan untuk beterinya aku bubuh enam gulung‘kemenyan ajaib’. Siapa boleh shak, siapa boleh tahu? Beteri radio kechil itu aku lekatkan diluar. Waktu masuk pintu kedalam taman pesta itu aku bunyikan radio itu, pada meter yang menyiarkan lagu2 ranchak.

Tidak ada siapa yang bertanya, tidak ada yang memereksa. Moon juga ada bawa bekal, iaitu selain dan roti dan makanan2 dalam tin.

“Ada dibawah bukit aku” – katanya sebelum tiba ke-pintu masuk.

“Tentu selamat” – fikirku. Aku sudah naik kepunchak kedua bukit kembar itu. Banyak nikmat disana.

Ambboi, aduuh, my god. Temasha itu sungguh ranchak. Sembilan pancharagam bermain bergilir-gilir tidak berhenti-henti. Lagu2 barat semuanya. Kesukaan kami. Kegemaran Moon dan aku.

Tiga puluh jam berayun dalam irama ranchak, lanchar, tinggi, memunchak, melangit kenirwana. Dalam masa tiga puluh jam itu kami sampai kealam lain, kedunia asing – dunia aman damai, dunia penuh bebas, melempah seronok, murni, indah, penuh khayal.

Tetapi tiga puluh jam adalah satu tempoh yang sangat pendek. Kaiau tiga puluh hari, malah tiga puluh tahun, alangkah bagusnya.

Petang hari minggu, sedang suasana memunchak dengan kebahagiaan, sedang perasaan khayal kami melayang kekayangan yang suchi murni, pesta itu pun diberhentikan, ditamatkan.

Dan keesokan harinya, penaka orang2 suratkabar yang tolol, yang ketinggalan zaman – yang decadent, yang moribund, anti-progress, anti-perdamaian sejagat, yang chelaka, yang barangkali tak pernah merasa nikmat hidup, pesta indah itu sekonyong-konyong telah bertukar menjadi skendel besar.

Kononnya ada orang2 luar membawa ganja. Kononnya telah ada pemuda-pemudi yang menghisap ganja, madat dan dadah. Apakah yang mereka itu tahu? Mereka bukan manusia bebas seperti kami.

Hatiku macham diiris-iris dengan sembilu. Aku marah betul kepada orang2 dengki yang telah membochorkan rahsia dalam pesta itu.

Malam itu, dirumahku, dalam kamar tidurku yang penuh dengan lukisan2 dan patung2 seni-pop, aku terasa seluruh badanku panas. Aku terasa sakit dichelah kangkangku. Ari-ariku bengkak. Dan bila mahu buang air kechil aku terasa hangat, pedih.

Mujurlah malam itu ayahku ada dirumah.

Sebagai “man to man” aku cheritakanlah apa yang sebenarnya telah berlaku dalam pesta itu.

Ayahku sangat understanding.

“Mari aku bawa engkau kekelinik istimewa. Jangan takut. Jamin boleh baik dalam seminggu. Tetapi mahu pantang: jangan makan sambal, jangan makan asam. Dan ingat: jangan kasi tau apa2 pada emak engkau. Bilang engkau demam sudah; demam musim buah, musim kemarau. Berkurunglah engkau dalam bilik tidur engkau. Kebetulan emak engkau sudah pergi ke Pulau Pinang, ikut rombongan. Seminggu lagi baru dia balik.

Kelinik istimewa itu agaknya jauh, dalam

pekan diluar ibukota. Entah dimana. Lama kami dalam kereta. Sempat ayahku bercherita darihal seorang pemuda yang hendak masuk universiti.

“Engkau sudah besar Jack. Sampai di London nanti engkau tentu mahu ‘menembak’. Jadi, bila kau menulis surat meminta wang, tulislah, diantara lain2 belanja, belanja menembak sekian2…”

Seterusnya ayah ku bercherita: “Belanja Jack menembak bertambah tiap2 bulan, dan akhirnya ayah Jack minta kurangkan belanja menembak itu seberapa yang boleh.”

“Pada bulan kemudian Jack mengirim senarai perbelanjaannya. Diantara lain2 ialah: menembak lima paun, membaiki senapang lima puluh paun…”

Ayahku tergelak seorang diri. Aku, meskipun cherita itu luchu, tidak tertawa. Aku sakit, betul2 sakit. Dalam kereta aku terkenching. Sedikit2, sakit semakin pedih.

“Sekarang,” kata ayahku, “senapang kau pun sudah rosak. Tapi tidak mengapa. Ada ubat moden yang sangat baik, yang serasi. Nanti bila sampai kekelinik itu engkau diam2. Biar ayah yang chakapkan apa sakit engkau. Kalau tidak diubat lekas senapang engkau nanti tidak mahu meletup lagi. Lain kali ingatlah. Jangan perchaya yang groovy2. Hanya banyak gravy…”

Betul, seminggu kemudian aku sudah baik. Tetapi kena berulang lagi kekelinik itu seminggu sekali.

Kini aku tidak shak lagi. Penyakit itu aku telah dapati daripada Moon. Dan dia dapat daripada mana, daripada siapa? Mungkin daripada pelanchung luarnegeri. Aku kesian padanya, tetapi dalam kesian, rasa meluat pun ada juga. Tidak ku sangka sekali-kali anak orang baik2 begitu membawa kuman sakit moden, sakit zaman kemajuan.

Dua minggu kemudian surat Moon sampai lagi. Daripada alamat yang lain, nombor talipon yang lain pula.

Suratnya pendek saja, dalam bahasa Inggeris:

“Dearest Darling. In December, about four months from now, we are organising another Music Festival, to be called Junglestock. Would you come again, sweetheart? Always longing for you…”

“Go-to-hell with you!” – aku menyumpah dalam hati.

Aku sudah taubat. Woodstock bagiku sudah jadi Woodstink. Never again, forever. Lailahaillahllah. Muhammadurrasulullah. Amin.

oleh Pak Sako.
 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Temerloh punkrocker

    images
  • Menembus tembok silam Adios

%d bloggers like this: