Antara Dua Arus
Aku pernah sempat mengenal tanah ini dengan landskapnya yang asal. Sewaktu bukit-bukaunya masih berselimutkan hutan rimba, ketika denai-denainya bersilangan seperti sarang labah-labah merentas belukar , ketika paya-paya masih sedemikian pekatnya berbau keringat.
Dan tak lupa, ketika itu jugalah terdapat rumah-rumah kampung yang uzur terlihat berderetan di sepanjang tebing sungai. Rata-rata rumahnya mengiring condong hampir rebah, sangat identik dengan status ekonomi para penghuninya ketika itu.
Di sinilah permulaannya seluruh kehidupan. Pada titik jantung wilayah hujung dunia, wilayah kehidupan yang terbelah oleh dua batang sungai yang saling berbicara.
“Salam sejahtera, saudaraku , Sungai Semantan. Apa khabar ?”
“Khabar baik, wahai Sungai pahang yang terhormat.”
“Bagaimana dengan perjalanan kamu pagi ini?”
“Agak meletihkan, semalam terjadi hal gara-gara seorang kanak-kanak jatuh ke air sebelum hilang ditelan arus. Sehingga dini, usaha mencari terus giat. Perjalananku jadi sibuk sekali.” rungut Sungai semantan.
“Bukankah hal sebegitu terlalu kelaziman buat sungai seperti kita”
“Benar. Tapi sudah lama arusku tak menelan nyawa”
“O itu tandanya kamu sudah terlalu lama bersenang-senangan, Terduga sedikit kerumitan saja sudah mula merungut. Tak ingatkah lagi pada waktu-waktu sukar dahulu ? Sewaktu arusmu berwarna merah darah ?”
“Itu kisah lama , saudaraku Sungai Pahang, terlalu lama, malah aku sendiri nyaris tak mengingatinya lagi”
“Nah, mudah sekali kau melupakan sejarahmu sendiri, Sedang aku yang melewati lauan yang lebih jauh menuju ke muara, sentiasa menghafal setiap selok-belok sepanjang perjalananku” kata Sungai Pahang.
Benarlah bagai yang dikatakan oleh Sungai Pahang itu, dulu sungai ini lebih penting dari daratan. Malah sungai ini adalah akar kepada soalan mengapa manusia menempati kawasan ini . Sungai ini adalah sumber rezeki kepada mereka, sungai ini yang membasuh tubuh mereka, sungai adalah pengangkutan mereka. Lama sebelum terciptanya jalan raya. Mereka berperahu untuk ke mana-mana. Penunjuk arah barat, selatan, timur, utara juga belum tercipta, penunjuk arah yang ada cuma hulu dan hilir. Sehingga sekarang pun masih melekat istilah ke hulu dan ke hilir itu di hujung lidah anak-cucu mereka.
“Bukankah ketika itu kita melalui zaman yang sangat sibuk ? ” Ujar Sungai Pahang.
“Dan manusia sentiasa bersedia berperang untuk merebut kita” balas Sungai Semantan bila memori silam kembali singgah ke benak fikirannya.
“Tak ingatkah lagi kau pada Mat Kilau ?”
“Ah , tak mungkin aku boleh lupa akan dia? tak kira berapa juta manusia pernah menjamah airku, tapi aku tak mungkin melupakan manusia yang satu ini “
“Katanya, dia tak pernah takut mati berhadapan penjajah kolonialism, namun dia lari kerana tak sanggup berbunuh sesama anak bangsa sendiri. Sekalipun dari jenis anak bangsa talibarut kompeni.”
“Sungguh besar jiwa manusia yang satu itu. Tapi kalau diperkirakan pendiriannya ada juga benarnya. British takkan kalah dalam permainan sebegitu. Selagi mereka mereka tak mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, maka mereka tak akan kalah”
“Tak ada bezanya dengan zaman sekarang, tak kira dijajah portugis, belanda, inggeris, jepun ataupun dijajah bangsa melayu sendiri, rakyat masih juga jadi barang mainan para penguasa. Jinak dah mudah dikawal.”
“hahaha,” berderai gelak sungai Semantan,”Seperti kambing biri-biri, dia ajak ke hulu, diturutnya ke hulu, diajak ke hilir pun diikutnya ke hilir” sambungnya dalam nada kombo bercakap seraya ketawa yang belum habis.
“Itulah masalahnya, yang untungnya orang atasan”
“Beratus-ratus tahun pun manusia tak pernah belajar membezakan ungkapan-ungkapan rhetorik …”
“Politik di malaysia memang biayanya murah, bermodalkan kata-kata demi bangsa saja sudah boleh mengumpul setengah dari jumlah rakyat jelata. Kalau bermodalkan demi agama pula, jumlahnya pun tak kurang besarnya “
“Memang begitulah kisahnya, bersilih generasi tapi dongengnya tetap sama”
“Kita sebagai alam tak pernah membeza-bezakan bangsa dan agama manusia. Kalau mahu mengambil air sembahyang dari air sungai kita maka, ambillah. Kalau mahu menghanyut abu mayat ke dalam arus sungai menurut kepercayaan agama mereka, maka hanyutkanlah… Tak faham kenapa manusia selalu bersengketa atas hal-hal spiritual berbeza”
Tiba-tiba suasana menjadi senyap sunyi seketika. Mungkin mereka sudah kehabisan buah bicara, mungkin juga mereka sedang terkenangkan peristiwa lama.
“Pernahkah kau lupa, bahawa di persisiran tebingmu pernah berlaku pemberontakkan . Gerombolan si miskin melawan yang kaya. Petani, pekerja, rakyat bersatu menentang penjajah British ?”
“Maksud kamu komunis? Itu isu yang sangat sukar untuk dibicarakan, sahabatku . hampir tak ada siapa berani memperkatakan lagi tentang hal itu. Malah setiap kesan sejarah mereka yang terpalit di sepanjang perjalananku dari hulu ke kuala, sudah dibersihkan sehingga tak punya kesan lagi”
“Kenapa sampai terjadi seperti itu ? Sekurang-kurangnya tinggalkan sejarahnya agar setiap kesilapan-kesilapan itu boleh menjadi pedoman buat anak-cucu. Betapa ruginya. adakah kamu juga sudah lupa, saudaraku semantan? “
“Tak mungkin aku lupa, suatu ketika manusia dulu memang ada pertembungan itu berlaku. Zaman kesedaran manusia seluruh dunia. Bahawa mereka terdiri dari kelas-kelas tertentu. Kelas miskin, kelas pertengahan dan kelas atasan. Mereka mulai sedar bahawa kelas atasan yang menakluk khudrat mereka secara ekonomi dan politikal ternyata adalah dari kelompok minoriti. Sedangkan mereka, kaum miskin petani, perkerja, nelayan adalah kelompok minoriti”
“Wah.. berpanjang lebar hujah kau kali ini”
“aku bersemangat rakyat, sebab itulah aku bersemangat”
“Tak seperti Mat Kilau, kelompok ini akan langgar siapa saja yang berkompromi dengan British. Tak kira apa bangsanya, siapa yang berpihak dengan musuh , automatik menjadi musuh mereka”
“Bukankah sifat itu dijadikan alasan oleh British bahawa mereka adalah pengkhianat”
“Pengkhianat kepada British dan sekutu British”
“Tetapi mereka sudah kalah, lama dahulu… itu adalah fakta. Dan sejarah telah melukiskan mereka dalam erti kata yang sekejam-kejam manusia”
“Sejarah itu milik pihak yang menang, sahabatku. Kalau kau menang kau boleh menulis apa saja semahu kamu”
“Melawan pihak yang kaya, mereka cuma perlu meledakkan meriam berpelurukan duit. Si Miskin akan tewas juga lama-kelamaannya”
“Itu sudah pasti, sahabatku, itu sudah pasti”
Nun ketika mereka rancak berbicara, Jauh di balik belukar di tebing sungai terdengar suara seorang lelaki tercungap-cungap memberitahu kawannya tentang mayat yang dilihatnya hanyut di permukaan sungai.
“Itukah mayat budak yang kita cari tu”
“Rasanya bukan, sebab mayat tu terlentang”
“Kalau mengikut kata orang tua-tua, kalau mayat terapung yang terlentang tu mayat orang kafir, budak yang yang lemas tu melayu, mayat dia mesti terlungkup punya… jom kita cari lagi sampai jumpa”
Kedua batang sungai yang mendengar perbualan itu hanya tersenyum antara satu sama lainnya. Kerana mereka adalah alam, dan alam tak pernah membeza-bezakan manusia.
terima kasih, kawan..
sekadar cuba bermain dengan sastera 🙂
terinspirasi nak jadi macam a samad said…(konon-kononnya ..hehe)
hanya tabik hormat yang mampu diberikan
blog anda bertaraf 5 bintang