Puteri Kalung Mutiara
Pantaskah mencitrakan bagaimana dunia takdir berjalan ? Seperti kisah dongeng puteri rupawan yang tertawan oleh sihir jahat. Yang barang sesiapa berjaya melepaskan dia dari sihirnya, maka berhak pula mendapatkan cintanya, sekaligus mengahwininya dan merajai kerajaan miliknya.
Di antara sifat ingin percaya dan sifat ingin mengembara, maka keluarlah 2 orang putera dari negeri asal mereka. Berjalan merentasi sungai-sungai dan padang dandelion yang saujana mata memandang. Tujuan mereka cuma satu, iaitu membebaskan sang puteri dari penjara sihir yang entah di mana sembunyinya.
Meskipun tak sedikit bilangan putera raja yang pergi atas tujuan sama dan sampai sekarang pun, mereka belum pernah kembali lagi. Namun cerita seperti itu tak sedikit pun menggugat matlamat mereka berdua. Asalkan ada kemahuan, di situ ada jalan bentak hati mereka, sesuai dengan pepatah pegangan mereka.
“Tidakkah tuan hamba takut, kita akan lenyap seperti putera-putera yang lain” Tanya putera pertama kepada temannya.
“Patik tak takut” jawab putera yang kedua, “Patik yakin benar patik akan membebaskan dia dan patik juga akan mengahwininya” jawabnya dalam frekuensi yakin yang amat tinggi.
Setelah lama mereka berjalan tibalah mereka di sebuah padang yang luas dengan permandangan yang menyenangkan. Rumput menghijau dengan suburnya. Bunga-bunga dandelion mekar semahu-mahunya. Sangat senanglah hati mereka melihat permandangan yang permai seperti ini.
Sehinggalah terlihat mereka pada sebuah sarang semut yang besar dan membusut, sangat mencacatkan suasana. “Cuba tuan hamba lihat sarang semut itu, bukankah ia nampak aneh di tengah-tengah permandangan yang sedamai ini?” Tegur putera yang pertama.
“O Tuhan, bukankah ianya nampak begitu keji” Balas putera yang kedua. “Patik rasa ingin berseronok seketika” katanya lagi. Dia lantas mencari dahan kering.
Bersungguh-sunguh dia menyalakan api dan bersiap untuk membakar sarang semut tersebut.
Putera yang pertama berusaha menegah perbuatan sahabatnya, “Ini adalah perbuatan yang salah, membunuh semut adalah perbuatan yang syirik, perbuatan maksiat”
Putera yang kedua berhenti sejenak dan berfikir apa kaitannya membunuh semut dengan maksiat, kemudian dia meneruskan kembali niat jahatnya. “Ah, patik tak takut” bentaknya.
Putera yang pertama bingkas mendahului langkah sahabatnya, dihadangnya sambil memandang tepat ke dalam mata sahabatnya itu dia terus berkhutbah, “Nanti tuan hamba akan masuk neraka, dan di neraka nanti semut-semut itu akan menjadi besar seperti gergasi, mereka akan membakar dan memijak-mijak tuan hamba, tidakkah tuan hamba takut masuk neraka ”
Tapi putera yang kedua itu tidak berganjak dari pendiriannya mahu berseronok membakar sarang semut, “Kan patik dah kata, patik tak takut” katanya seraya dikuisnya putera pertama itu ke tepi. Dia malah terus mara…
Melihat tidak ada jalan lain, maka putera yang pertama itu akhirnya menepis ranting terbakar dari tangan sahabatnya hingga ranting itu terpelanting ke tanah.
“Ahh.. tuan hamba ini sudah gila ke apa? jangan sampai patik bakar tuan hamba dengan semut-semut tu sekaligus…” rungutnya
“Sekarang baik tuan hamba kutip balik ranting api tu sebelum terpadam, kalau tidak nahaslah…cepatt ”
Dengan rasa mengalah, putera itu pun mengutip kembali dan pada saat itulah dia terlihat sebijik mutiara di atas rumput. Tapi sebelum dia mengutip mutiara tersebut, putera yang kedua yang mulai sedar akan mutiara tersebut telah menolaknya ke tepi. “Patik telah melihat mutiara itu dulu, sebab itu patik lebih berhak yang mengambilnya”.
Tapi sewaktu dia menyentuh mutiara itu, dengan tak semena-mena, muncul sebuah sangkar yang entah datang dari mana. Di dalam sangkar tersebut ada seorang puteri yang sangat cantik rupawan sedang memegang jam pasir di tangannya. Kemudian berkatalah dia :
“Apa khabar wahai tuan putera. Ketahuilah bahawa mutiara yang ada dalam gengaman kamu itu hanya satu dari 111 biji semuanya, dulu asalnya adalah kalung pusaka tapi telah terputus dan mutiaranya berserak ke seluruh taman, Barang siapa yang berjaya mengumpul kesemua 111 biji mutiara dalam masa 1 jam maka berjayalah membebaskan hamba dari sumpahan nenek moyang hamba ini, dan sesiapa yang gagal mengumpulnya dalam masa ditetapkan akan berubah menjadi semut sama seperti nasib mereka yang menghuni sarang semut itu ”
Kedua-dua putera itu menjadi tercengang. (pertama tercengang kerana kecantikkan tuan puteri dan kedua tercengang kerana tugas gila yang sedang dihadapi)
Kata sang puteri sambil matanya mengerling kepada jam pasir di tangannya.”Cepatlah, jangan buang masa lagi”
“Tolong patik cari , cepatt ” Jerkah putera kedua kepada yang pertama.
Sahabatnya yang terkial-kial itu pun mula mengais rumput untuk membantu.
Kemudian, sekali lagi sang puteri menegur dari dalam sangkarnya. “Jika putera yang satu lagi membantu, putera yang memegang mutiara pertama tadi akan automatik menjadi semut serta merta”.
“Berhenti , bodohh.. Jangan tolong patik” kata putera yang terdesak itu dalam nada yang sangat panik.
Masa terus berlalu dengan pantas.
“Masa sudah tidak banyak lagi, wahai putera. Berapa banyak yang telah tuan hamba dapatkan? ” tegur sang puteri dalam kehampaan.
“11 biji, cuma perlu cari 100 biji saja lagi” jawab Putera yang semakin tertewas dengan takdir itu. Dia mulai merasa kelemahan dirinya.
Maka akhirnya masa yang diberikan itu tamat juga. Putera yang gagal itu pun berubah menjadi semut yang malang.
Sebelum sang puteri ghaib bersama sangkarnya, sempat dia berpesan kepada putera yang seorang lagi, “Usahlah tuan putera sentuh mutiara di taman ini, patik gusar tuan putera juga bakal menerima nasib yang sama seperti mereka”
Dan begitulah puteri itu ghaib semula……
Sungguh putera yang tinggal bersendirian itu berasa kasihan mengenangkan nasib malang puteri yang cantik itu. Lama dia berfikir, akhirnya dia pun memutuskan mencuba nasib mengumpul mutiara. Biarlah dia menjadi semut asalkan dia dapat melihat wajah rupawan puteri itu buat satu jam lagi.
Lalu dia pun mula mencari mutiara di taman itu sehingga bertemu sebiji. sewaktu dipegangnya, maka muncullah Sang Puteri tadi sekali lagi. Seraya menyergah, “Bukankah sudah patik sarankan agar jangan disentuh mutiara itu”
“Patik telah membuat keputusan untuk mencuba” jawabnya putera.
Entahlah kegilaan apa yang telah merasuknya hingga dia membuat keputusan sebodoh itu. Dan sekarang penatlah dia menyelak rumput di taman itu mencari semua mutiara-mutiara. Memang sulit dan hampir mustahil. Dia mulai menyesal, dia malah berputus asa.
“Masa sudah tidak banyak lagi, wahai putera. Berapa banyak yang telah tuan hamba dapatkan? ” tegur sang puteri dalam kehampaan.
“3 biji” balasnya dengan suara yang nyaris tak terkeluar.
Dan dalam kesuntukkan masa itu, tiba-tiba terlihat mutiara-mutiara yang ada di seluruh taman itu datang sendiri kepadanya. Mulanya putera itu tak percaya, kemudian baru dia sedar bahawa mutiara-mutiara tersebut telah dibawakan oleh semut dari sarang yang diselamatkan olehnya tadi.
Genaplah 111 biji mutiara, disusun rapi menjadi kalung yang berkerlipan. Dan bila dipakaikan kalung itu ke leher sang puteri, serta-mertalah, hilang sangkar sihir yang memenjarakannya selama ini. Jam pasir di tangannya pun ikut ghaib. Merdekalah tuan puteri yang rupawan itu kembali.
Semut-semut yang tersumpah juga kembali menjadi manusia seperti sediakala. Mereka turut sama merayakan kejayaan putera yang jujur itu.
“Tiada siapa yang lebih layak mendapatkan puteri itu selain kamu” jerit mereka.
“Terima kasih kerana menyelamatkan nyawa kami tadi” Jerit yang lainnya.
Sang putera dan puteri pun berkucupanlah dengan rakus.
Dan mereka pun berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya…bla bla bla bla bla
THE END
*Moral cerita ni, jangan bunuh semut, nanti masuk neraka.
Cerita asal prince et princesse yang bermaksud entah apa-apa aku pun tak tahu.