Rimba Hitam


Rimba Hitam.
Namanya sudah cukup untuk meniupkan hawa ketakutan.
kengerian menyeringai , belum lagi diungkit timbunan kisah puaka yang menyelubunginya.
Pasti memenuhi kapasiti ruang dengan perasaan paling horror.

Ibu
Sejak kecil, ibu sering menceritakan,
Bahawa Rimba Hitam itu letaknya nun di kaki bukit.
Dari jendela kamar, dapat ku lihat bukit dimaksudkan ibu.
bukit yang menanjak nun di kaki langit.

Kata ibu lagi, kamu jangan berani bermain jauh-jauh.
Rimba Hitam itu penuh dengan roh-roh para pendosa
Arwah perompak dan arwah pembunuh yang tak diterima bumi.
Mereka sangat lapar, jika ditangkap mereka , daging kamu pasti disiat-siatkan untuk dibuat makanan.

Pasti aku menjadi takut
tak dapat ku bayangkan tubuhku dimakan kanibal.
Demi rasa takut, aku tak berani menyebut nama Rimba Hitam.
Bimbang andai kata-kataku didengar roh-roh lapar yang mungkin membuatkan mereka mendendami aku.

Di Sekolah.
Kata ibu, kamu perlu belajar biar jadi pandai.
Katanya lagi , kamu akan dapat ramai kawan yang semuanya berlumba-lumba untuk jadi pandai juga.
Jika kamu betul pandai, nanti sudah besar kamu boleh jadi doktor.
Aku sendiri kurang jelas dengan pesanan ibu.
Kelak bila aku sudah besar, aku faham bahawa yang bercita-cita mahu menjadi doktor itu ibu sendiri , bukan aku.

Namun di sekolah aku bergaul juga dengan teman-teman baru.
Kebanyakkannya sebaya.
perlahan-lahan ku selidiki bahawa semua mereka juga tahu tentang Rimba Hitam.
ya, belantara puaka itu.
Mereka semua mendapatkan cerita Rimba Hitam itu dari ibu-ibu mereka juga.
Walaupun nyaris mirip dengan gambaran yang diberikan ibu, namun sesetengahnya membawa kisah kepuakaan Rimba Hitam yang jauh lebih langka.

Misalnya tentang fizikal roh-roh para arwah yang besar di luar jangkaan.
Katanya, tengkorak puaka-puaka itu saja dianggarkan sebesar kereta kebal.
Giginya tajam seperti mata gergaji.

Ada pula yang datang dengan cerita baru bahawa roh-roh para pendosa itu sangat gemar mendera.
Katanya, mangsa akan di campakkan hidup-hidup ke dalam cairan timah yang sedang mengelegak sebelum dimakan.
Ada juga yang mempersoalkan kalau mangsanya sudah menjadi timah, pastilah keras dan mendatangkan masalah kepada puaka-puaka tersebut untuk mengunyah mangsa mereka.
Setelah lama terdiam dan berfikir, kami sepakat bersetuju bahawa gigi puaka-puaka itu lebih tajam dan keras seperti keluli.
Mangsa akan tetap di ratah tanpa masalah sekalipun mereka bersalut timah.

Walaupun kami semua mengetahui kisah Rimba Hitam bersumber dari ibu-ibu kami,
akan tetapi ternyata para ibu teman-temanku membawa kisah berlainan tentang cita-cita.
Tiada keseragaman antara satu sama lain.

Contohnya si gendut temanku itu bercita-cita mahu menjadi lawyer.
Biarpun dia sendiri tak pernah tahu lawyer itu kerja yang bagaimana.

Manakala si pendek temanku yang seorang lagi bercita-cita mahu menjadi guru.
Aku yakin itu juga cita-cita ibunya, kerana si pendek selalu saja mengeji guru-guru yang yang mengajar kami.

Bagi teman-teman ku lain, selalunya mereka mahu menjadi askar atau polis.
Kasihan mereka , ibu mereka tidak menmbekalkan mereka dengan cita-cita.
Akhirnya mereka menjadi korban televisen yang sering memaparkan drama combat dan siri-siri detektif.

Yang menghairankan aku,
kebanyakkan teman sekolah yang bercita-cita menjadi doktor seperti aku cuma pelajar-pelajar perempuan.
Yang rata-ratanya comot dan penangis.
Sebab itu aku mulai benci dengan cita-cita tersebut.

Dewasa
Semua orang menjadi dewasa.
Orang yang dahulunya dewasa kini sudah menjadi tua,
Sedangkan orang-orang yang dulunya tua sudah mereput entah di mana.

Manusia-manusia baru pula datang. Mereka juga sedang belajar menghafal cita-cita ibu.
Bertambah cita-cita jenis baru. Angkasawan, pelumba F1 , kapten kapal laut dalam
dan bermacam-macam lagi yang tak terjangkau di fikiran kami dahulu.
Biar apapun cita-cita mereka, kesinambungan kisah Rimba Hitam tetap sama.
Atau mungkin juga sudah ditokok tambah sesuai dengan kehendak masa.
Yang menggabungkan roh-roh puaka Rimba Hitam dengan teknologi makhluk asing.

Aku berdiri di pinggir Rimba Hitam
Bukan kerana aku kecewa dengan dunia atau mahu bunuh diri,
justeru aku cuma ingin tahu apa yang ada di dalam dunia satu lagi.
Ruang lingkup sebuah wilayah yang kebanjiran misteri.

Seperti namanya, Rimba Hitam memang tersembunyi di balik kabus gelap.
Pohon-pohon besar dengan warna-warnanya pudar dan malap.

Perlahan ku langkahi dari satu langkah-ke satu langkah.
Sunyi dan hanya terdengar bunyi dedaun kering yang rangup terpijak.
Semakin jauh aku masuk, semakin suasana menjadi hitam.

Mata ku galak ke kiri ke kanan
curiga akan roh para puaka.

Setelah jauh ku melangkah aku sampai ruang belakang. Tiada lagi pepohon besar.
Hanya lalang-lalang hitam yang berbuai ditiup angin.
Alang kepalang menerobos biar sampai habis bisik hati ku.

Bulat tekadku meredah halangan
Sewaktu ku menguak padang ilalang…. baru ku sedar kalau itu bukan lalang seperti yang ku sangka.
ianya adalah tangan-tangan manusia yang melambai-lambai
Ah , kacau !!
Semuanya adalah tangan yang tumbuh seperti pokok.
Beribu-ribu jumlahnya. Mungkin puluh ribu aku tak pasti.
Mereka sepakat memaut aku agar jangan melewati mereka.

Ku tepis dan terus menepis.
Aku nekad berlari dan berlari.
Kalau benar di belakang Rimba Hitam itu adalah penghujungnya.
Aku tak takut lagi tersungkur di tebing dunia.
Dalam larianku yang lelah, buas dan sehabis nyawa , aku berjaya menerobos keluar.

Ku jeling ke belakang,
ke arah padang yang penuh tumbuhan seperti tangan
Ku tersenyum dengan wajah kemenangan.

Bila aku pandang sekitar tempat aku berdiri
ternyata aku sudah lolos
dan dunia yang satu ini ternyata lebih terang bercahaya.
jauh lebih terang dari dunia yang kukenali sebelumnya.
Tiada munafik, tiada hipokrit, tiada kepalsuan

Dan kedatangan aku di daerah baru itu ternyata di sambut oleh alam berwarna warni
ada kupu-kupu terbang bebas ke sana ke mari
ada bunga-bunga kembang seindah mimpi
ada relung-relung cahaya dari kilauan matahari
dan ada orang-orang lain sebelumku menyambut kedatanganku sambil bernyanyi-nyanyi

Ternyata tiada puaka di daerah Rimba Hitam
Bila ku sedar akan kebenarannya , ternyata dunia itu sebenarnya kosong
semuanya dakyah, semua politis
Dunia itu ternyata berdiri dari tiang-tiang bersalut paradigma, mitos, dogma dan doktrin

Jelaslah,
Pencerahan jiwa itu dapat dicapai bila kita berani melawan ketakutan yang ada dalam fikiran kita sendiri.
Keluar dari ketakutan paling dahsyat yang telah lama bersarang dalam kelongsong fikiran kita selama ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

  • Temerloh punkrocker

    images
  • Menembus tembok silam Adios

%d bloggers like this: