Malangnya aku bukan sebuah kota
Jika aku sebuah kota,
pastilah ia sebuah kota yang murung.
Kota yang dibelah oleh jalan-jalan sempit yang tak berhujung.
Andai ada pengembara yang singgah dan bertanya:
“Di manakah arah menghala ke Syurga ?”
Penghuninya hanya mendepakan tangan mereka sambil tersenyum.
Mereka tak membazir walau sepatah kata .
“Jika kau mahu, di sinipun boleh didirikan sebuah syurga”
Jika aku sebuah kota,
pastilah ia sebuah kota yang sama dengan kota-kota lainnya.
Ada Cathedral dibina atas kedua-dua mataku.
Ada galeri gambar menghias dinding-dinding
Ada pilar-pilar bersilang dan tangga-tangga kerinting
Kuping telingaku ada Auditarium mengalunkan simfoni orkestra
Di jidatku ada dewan tempat setan-setan berdangsa
Di antara bibirku ada lembah dingin sebuah cemetery
ada beribu-ribu batu nesan berbaris
Terhias tanda-tanda ingatan buat para arwah
serta jambangan bunga blossom yang sudah layu dan terpinggir
Tiada yang berbicara di kalangan orang yang telah mati
Kerana itu, di sini bebas dari bicara munafik
Sentral tubuhku ada sekeping hati,
yang di atasnya ada kubah besar berpagarkan tiang-tiang minaret.
Tempat burung-burung hering bersarang dan bertenggek
Mereka tak menemukan Judas Iscariot di sana
Demi tuhan , mereka takkan membutakan aku
kerana hatiku tak pernah mempunyai mata.
Sebetulnya aku bukanlah sebuah kota.
Jika aku sebuah kota, ia bukanlah kota malapetaka
Bukan Pompeii, bukan Sadum, bukan Gomorrah
Mungkin hanya sebuah kota mimpi
Kerana di benakku ada panggung teater
Di atas lantai marmar yang rapuh ada plot-plot hidup yang dramatis
Ada illusi dosa yang erotis
Ada imaginasi di luar jangkauan delusi
Penuh khayal dan fikiran-fikiran yang ceroboh
Andai ada pengembara yang singgah dan bertanya:
“Di manakah arah menghala ke Syurga ?”
Aku hanya mendepakan tangan ku sambil tersenyum.
Aku tak membazir walau sepatah kata .
” Kota ini bukan syurga tapi rumah pelacur”